Bayi perempuan maut dilanggar bas

0
33
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof.

SEPANG – Seorang bayi perempuan yang berusia setahun empat bulan maut selepas dilanggar bas ketika mengekori kakaknya melintas jalan di hadapan rumah di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam kejadian pukul 12.15 tengah hari itu, bayi itu keluar rumah dan mengekori kakaknya yang mahu menaiki bas untuk ke sekolah.

“Ketika kejadian, kakak mangsa tidak menyedari adiknya keluar dari rumah dan mengekorinya sebelum terperosok di bawah bas yang bergerak.

“Sebaik kejadian disedari, bayi itu dihantar ke Klinik Kesihatan Salak Tinggi dan disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here