Bekas Ketua Pengarah Pendidikan dilantik ketuai jawatankuasa khas cegah buli, gangguan seksual

0
10
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menyampaikan watikah pelantikan kepada bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim.

CYBERJAYA – Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bagi Meneliti dan Menambahbaik Prosedur Pengendalian Kes Gangguan Seksual dan Buli di Institusi Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan.

Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, selain Habibah, jawatankuasa khas itu turut dianggotai oleh tujuh individu lain yang berpengalaman luas dan mempunyai latar belakang profesion berbeza.

“Antaranya mantan pegawai kanan kerajaan, pensyarah, kaunselor, pegawai undang-undang serta wakil badan bukan kerajaan (NGO). Terima kasih atas kesediaan anda untuk bersama-sama membantu KPM.

“Ahli yang lain adalah Datuk Sutinah Sultan, Datuk Sulaiman Wak, Prof Datin Mariani Md Nor, Lt. Kol Bersekutu (PA) Aminuddin Awang, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Prof Madya (Kehormat) Datuk Dr. Sundramoorthy dan ACP Siti Kamsiah Hassan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, penubuhan jawatankuasa khas itu merupakan antara pendekatan KPM untuk mendapatkan solusi terbaik dalam menangani kes berkenaan gangguan seksual dan buli di institusi pendidikan bawah KPM.

“Kami yakin serta percaya, dengan pengalaman dan kepakaran ahli-ahlinya, jawatankuasa khas ini akan dapat membantu KPM meneliti secara mendalam dan seterusnya mengesyorkan pelan tindakan bersesuaian yang boleh diambil bagi menangani kes gangguan seksual dan buli di institusi pendidikan bawah KPM,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here