Data peribadi rakyat bocor bukan dari JPN – Menteri KDN

0
31
Hamzah Zainudin

CYBERJAYA – Dakwaan kebocoran data peribadi melibatkan 22 juta rakyat Malaysia yang lahir antara tahun 1940 hingga 2004 bukan dari sumber data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penjualan data tersebut berkemungkinan melibatkan sumber dari pelbagai agensi.

“Kita ada membuat siasatan terperinci namun pihak kementerian juga ada mekanisme tersendiri bagi membuktikan data itu sebenarnya bukan daripada JPN,” katanya pada sambutan Majlis Aidilfitri kementerian tersebut hari ini.

Majlis turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Menurut Hamzah, dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan data yang ditawarkan untuk jualan itu dari pihak JPN tidak semestinya benar dan mungkin sebagai strategi pemasaran.

Katanya, kes yang hampir sama juga pernah berlaku sebelum ini dan selepas siasatan dilakukan ia terbukti bukan data dari JPN.

Bagaimanapun Hamzah memberi jaminan akan mengambil serius isu tersebut dan akan memanggil pihak terlibat dengan segera untuk menyemak dakwaan itu.

Sehubungan itu, Hamzah berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi mendapatkan data peribadi melalui agensi di bawah JPN akan dikaji semula.

“JPN merasakan wujud keperluan untuk data peribadi didapatkan terus daripada jabatan terbabit supaya isu seperti ini tidak timbul,” katanya.

Semalam, sebuah portal berita tempatan melaporkan kebocoran data jutaan rakyat Malaysia bersumberkan dari laman forum Lowyat.Net yang dijual atas talian pada harga RM43,000.

Ia mendakwa data itu meliputi mereka lahir dari tahun 1940 sehingga 2004 lalu termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat, tarikh lahir, jantina, kaum, agama dan nombor telefon.

Penjual data tersebut yang hanya dikenali sebagai myIdentiti API itu turut menunjukkan butiran Hamzah sendiri malahan mempunyai akses rekod peribadi daripada agensi kerajaan.

Maklumat Hamzah Zainudin yang diperolehi dari sumber data peribadi berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here