Dr. Afifi undur diri jawatan penasihat sultan

0
268
DR. AFIFI

IPOH – Setelah beberapa minggu dikaitkan dengan imej lelaki yang sedang berhibur dalam sebuah kelab malam, Datuk Dr. Afifi al-Akiti akhirnya mengundurkan diri daripada jawatan Penasihat Rasmi Sultan Perak dalam hal ehwal islam.

Pejabat Dewan Negara Perak mengesahkan telah menerima surat pengunduran menjawat gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan daripada Afifi, bertarikh hari ini.

Menurut Setiausaha Dewan Negara Perak, Toh Amar Seri Diraja Datuk Seri Ayop Hashim, antara lain warkah itu memohon perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk berundur daripada menyandang gelaran terbabit.

Jelasnya, warkah itu sudah diangkat sembah untuk pertimbangan Sultan Nazrin dan telah diperkenankan.

“Baginda menzahirkan penghargan atas segala khidmat bakti yang diberikan Dr Afifi dalam tempoh menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan.

“Baginda juga berkenan menerima permohonan itu (pengunduran) untuk dikuatkuasakan pada 15 Mei 2022,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Afifi dalam warkah yang ditulis mengakui pengundurannya berkait rapat dengan penularan bahan di media sosial yang dilihat bertujuan mencemarkan namanya sejak dua minggu kebelakangan.

Beliau memilih untuk tidak mengulas atau memberi sebarang jawapan yang boleh mencetuskan berlakunya perdebatan berpanjangan yang tidak memberi sebarang manfaat.

“Menginsafi perkara ini yang jika berlarutan dan tidak dibendung akan menjejaskan kemuliaan raja pemerintah dan institusi istana, saya mengutus warkah ini untuk menyampaikan hasrat ikhlas mahu berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan.

“Keputusan ini saya lakukan atas rasa tanggungjawab dan sifat taat setia seorang rakyat kepada sultannya demi melindungi darjat kemuliaan Sultan Perak agar tidak dicacatkan dan begitu juga untuk mengelak institusi istana daripada dicemari,” jelas Afifi dalam warkah tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here