Dr Mahathir gelar Ahmad Zahid sebagai penipu, pembohong tegar

0
52
Tun Dr. Mahathir Mohamad

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa tindakan mahkamah yang diambil oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadapnya hanya satu helah untuk menutup penipuan dibuat olehnya.

Beliau berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu bukan sahaja seorang penipu malah merupakan pembohong tegar.

“Sebenarnya saya bosan dengan sikap Zahid. Tindakan saman yang diambil hanya sebagai usaha untuk tutup penipuannya menerusi proses mahkamah.

“Zahid ini penipu. Orang putih kata “compulsive liar”, pembohong tegar. Dulu semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14, dia keluar kenyataan kononnya kad pengenalan saya yang asal menamakan saya sebagai Mahathir a/l Iskandar Kutty.

“Dia dakwa bahawa IC biru saya dengan nama tersebut dihantar kepadanya oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara. Dakwaan ini dibuat Zahid kerana hendak tuduh bahawa saya berketurunan India dan telah mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun saya jadi Perdana Menteri,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Bulan lalu, Ahmad Zahid memfail saman fitnah terhadap Dr Mahathir berhubung isu mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk mencampuri urusan perbicaraan kes yang dihadapinya di mahkamah.

Ahmad Zahid, 69, mendakwa Dr Mahathir memfitnah bahawa beliau pernah hadir ke rumah Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, beliau bersedia berhadapan di mahkamah dan telah mengarahkan peguamnya untuk menyampaikan kesediaannya.

Sementara itu mengulas mengenai tuduhan Ahmad Zahid mengenai kad pengenalannya yang menggunakan anak lelaki” dan bukan “bin”, Dr Mahathir berkata, satu tindakan undang-undang akan diambil terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

“Sebelum ini saya tidak gemar mengguna mahkamah walau ramai yang memfitnah saya kerana saya sedar di dalam kempen politik akan ada yang bertindak di luar batas dan had.

“Tetapi kali ini saya merasa perlu bertindak kerana sikap pembohong Zahid ini amat memualkan dan tidak boleh dibiar begitu sahaja. Ia bukan saja kerana ia merosak reputasi saya tetapi penipuannya kepada penyokong UMNO dan orang Melayu lain demi untuk dia mahu kekal berkuasa amat merbahaya.

“Saya sedang pertimbang untuk ambil tindakan undang-undang kerana pembohongan Zahid yang memfitnah saya. Saya cabar Zahid untuk tunjuk bukti tentang identiti saya yang pertikai diri status bangsa saya sebagai orang Melayu.

“Jika dia tidak meminta maaf dan menarik balik fitnah itu, saya akan ambil tindakan mahkamah,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here