Enggan beri laluan kepada ambulan, rupanya pemandu MPV ada masalah pendengaran

0
42
Pemandu bersama MPV yang dipandu ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, hari ini.

KAMPAR – Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dirakam enggan memberi laluan kepada ambulans dalam keadaan siren ambulans itu dibunyikan, sebenarnya dipandu oleh seorang individu mengalami masalah pendengaran.

Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud, siasatan mendapati pemandu berusia 62 tahun itu mengalami masalah pendengaran ‘Tinnitus-Acoustic Neuroma’ sejak tiga tahun lalu.

“Lelaki itu masih lagi mendapatkan rawatan lanjut dari pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

“Sehubungan itu, Polis Daerah Kampar melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemandu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebuah video berdurasi 37 saat yang dipercayai dirakam dari sudut arah ambulans berkenaan yang memaparkan insiden, menjadi tular di media sosial hingga menarik perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah yang turut berkongsi paparan video itu di laman Facebook miliknya.

Kejadian dipercayai berlaku di KM292 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala utara.

Berikutan itu, pihak polis berjaya mengesan pemandu kenderaan itu hari ini dan pemandu serta pemilik kenderaan itu diarah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar untuk siasatan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here