Gema suara Perdana Menteri pertahan keselamatan Laut China Selatan lantang di Amerika Syarikat

0
64
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disambut Presiden AS, Joe Biden ketika menghadiri majlis makan malam sempena Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di Washington D.C., AS baru-baru ini.

CHINA adalah antara kuasa besar di dunia. Pelbagai cara dan usaha dilaksanakan untuk memastikan mereka menguasai kekuatan ketenteraan, wilayah dan ekonomi.

Salah satu cara China untuk menguasai perkara tersebut adalah dengan menguasai lautan. Dan lautan yang paling mudah untuk “dituntut” adalah Lautan China Selatan.

Walaupun di dalam United Nation Convention of Law of the Sea (UNCLOS) telah menetapkan yang mana, mana-mana negara mempunyai hak khas terhadap persisiran, pulau atau terumbu yang terletak dalam 200 batu nautika daripada negara tersebut, di mana dipanggil sebagai Execlusive Economic Zone (EEZ).

Malah keputusan Mahkamah Timbangtara Tetap pada 2016 telah mengesahkan China tidak mempunyai hak dalam membuat tuntutan mereka berasaskan faktor sejarah. Tetapi China masih tidak mahu mengikut konvesyen tersebut, mereka menggunakan kaedah tersendiri untuk menentukan bahagian Laut China Selatan mengikut mereka, iaitu kaedah ‘Nine Dash Line’.

Dan, antara contoh kawasan dalam Nine Dash Line yang menjadi rebutan sehingga sekarang ialah Kepulauan Spratly, kepulauan yang bersaiz 475,000 kilometer persegi telah menjadi rebutan antara empat negara iaitu China, Vietnam, Brunei, dan Malaysia.

Maka, China telah melakukan banyak siri serangan, pencerobohan dan pelbagai bentuk amaran untuk memastikan tidak ada negara yang berani untuk menganggu “kawasan-mereka”.

Antara perkara yang pernah dan sedang China lakukan ialah:

a. Pada September 2021, selepas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghabiskan latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS), China telah menghantar dua kapal pengawal berkod CCG 5502 dan CCG 6307 ke dalam perairan Sabah. Ini sebenarnya satu bentuk amaran kepada Malaysia yang sering melakukan OPS Curiga pada ketika itu. Malah mengikut Laporan Audit Ketua Negara 2020, kapal penjaga China telah menceroboh perairan kita sebanyak 89 kali dari tahun 2016 hingga 2019.

Prof Dr Azmi Hassan

b. China telah melakukan latihan ketenteraan kapal perang “amphibious assault” mereka di Laut China Selatan, kapal ini merupakan kapal terbesar pertama mereka jenis Type-075 yang digunakan untuk operasi serangan pulau kecil.

c. China sudah mula menggunakan dron elektronik CH-6 yang digunakan untuk menggintip dan memeta dasar laut. Malah dron ini juga mempunyai termal teknologi yang akan membolehkan kapal perang China lalu tanpa dikesan malah ada dron laut China yang sudah mirip kepada bentuk pari yang menyukarkan proses pengesanan, dan mungkin akan tidak dapat dikesan langsung sebagai alat ketenteraan kerana bentuknya.

Beting Patinggi Ali

d. Menurut kajian badan bebas di Washington mengatakan pernah hampir 300 kapal peronda maritim China mengawal Laut China Selatan pada sesuatu masa. Malah, menurut Felo Penyelidik Institut Pertahanan dan Pengajian Strategik, Universiti Nanyang, Collin Koh mengatakan, kapal pengawal ini juga sebenarnya kapal peronda yang menjalankan kegiatan komersial menangkap ikan untuk menyukarkan pembezaan kapal rondaan dan komersial. Ini akhirnya menakutkan para nelayan untuk melakukan kerja mereka.

e. China telah memulakan proses menambak tanah di kawasan terumbu karang dan sekurang kurangnya tujuh pulau buatan untuk dijadikan markas tentera. Kapal armada laut China juga pernah berlegar-legar di Beting Patinggi Ali berhampiran dengan perairan Sarawak. TUDM juga pernah membuat pintasan amaran ke atas 16 kapal pesawat China yang dilaporkan berlegar di ruang Zon Maritim Malaysia dan Kota Kinabalu FIR.

Kapal pengawal pantai China yang sering menceroboh kawasan perairan di Laut China Selatan

f. Kapal China menganggu lapangan gas kasawari Petronas. Kapal peronda tersebut dikesan memantau aktivit kapal Sapura Esperanza yang sedang beroperasi.

Disebabkan ancaman ancaman ini yang menganggu keselamatan Malaysia dan negara jiran. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika Persidangan Kemuncak Asean-AS di Washington menyatakan pendirian beliau mengenai isu keselamatan dan krisis antarabangsa. Antara isu utama dibangkitkan adalah mengenai isu Palestin yang tidak berkesudahan.

Selain itu, beliau dengan penuh lantang menekankan bahawa kawasan Laut China Selatan perlulah sentiasa bebas, aman dan berkecuali daripada kuasa besar. Malaysia dan negara Asia Tenggara akan terus mematuhi prinsip ZOPFAN di mana negara negara ASEAN akan sentiasa berkecuali dalam mana mana isu untuk memastikan keamanan serantau.

Perkara ini sebenarnya sangat penting untuk mengelakkan krisis keamanan berlaku di rantau kita ini kalau krisis Laut China Selatan ini dibiarkan melarat. Antara impak yang boleh berlaku jika krisis ini dibiar adalah perang proksi akan berlaku.

Seperti diketahui umum, AS pun sudah mula memasuki kawasan perairan China Selatan dengan dalil bagi menentukan keselamatan pelayaran melalui program yang dinamakan Freedom of Navigation (FoN). AS bakal menggunakan alasan seperti untuk menunaikan penjanjian ketenteraan bersama Manila untuk memasuki perairan Laut China Selatan. Malah AS sudah meningkatkan aktiviti ketenteraan dan kapal maritin di perairan laut China termasuklah operasi navigasi bebas.

Menurut kerajaan China sendiri, AS sudah melipatkan gandakan aktiviti ketenteraan di perairan sana. Malah dengan adanya perjanjian pertahanan AUKUS di antara AS, Australia dan United Kingdom (UK), dikhuatiri serangan berbentuk nuklear juga boleh berlaku. Sebab dalam perjanjian ini, AS dan UK telah berjanji akan memberi kemudahan perolehan tiga kapal selam berkuasa nuklear kepada Australia.

Oleh sebab itu lah, dalam keadaan sudah getir ini, takkan lah kita hendak jadi pelanduk yang mati dalam pergaduhan gajah dengan gajah. Kita perlu bertegas dalam isu sempadan maritim ini.

Kita juga perlu untuk sentiasa bersedia untuk meningkatkan aset ketenteraan Malaysia. Menurut Global Fire Power, kekuatan tentera Malaysia hanya di tangga ke-44 dalam 140 negara, tangga ke-19 dalam Asia dan keenam dalam Asia Tenggara.

Menurut mereka kita tidak menunjukkan peningkatan dan kita ketinggalan dalam negara Asia Tenggara. Malah ada waktu kita masih menggunakan aset ketenteraan yang sudah lebih 30 tahun.

Rakyat sangat berharap agar Malaysia akan menambah peruntukan bajet pertahanan dan peruntukan untuk membeli aset pertahanan. Mungkin sudah tiba masanya kita menggunakan kelebihan kepintaran buatan (AI) yang sering digunakan dalam Internet of Military Things (IoMT) dalam pertahanan kita, seperti “Epirus Advanced Directed Weapon”, penggunaan “Unmanned Aerial and Naval System”, Harfanglan dari Perancis dan VR based training.

Sebab kalau kita masih berdolak dalih dalam kemampuan aset kenteraan, rakyat bimbang satu hari nanti, bukan sahaja kita kehilangan kepulauan Spratly, mungkin Sabah dan Sarawak bukan lagi milik Malaysia.

Rakyat berharap Perdana Menteri terus bersuara tentang isu keamanan ASEAN di pentas antarabangsa. Tahniah Perdana Menteri Keluarga Malaysia.

Oleh Prof Dr Azmi Hassan
Pakar Geostrategis
Universiti Teknologi Malaysia

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Malakat Tribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here