Guru besar tidak boleh halang permohonan pertukaran guru

0
23
Dr. Radzi Jidin.


CYBERJAYA – Guru besar atau pengetua sekolah tidak lagi dibenarkan untuk menghalang permohonan pertukaran guru seperti diumumkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, sebelum ini urusan pertukaran para guru memerlukan kebenaran guru besar dan pengetua tapi kini kuasa itu ditetapkan setakat untuk memberi ulasan.

Beliau berkata, selain itu KPM juga menetapkan pertukaran guru boleh dibuat empat kali setahun berbanding hanya dua kali setahun sebelum ini.

“Para guru kini boleh membuat permohonan pertukaran sepanjang tahun susulan garis panduan baharu dikeluarkan KPM bagi menggantikan garis panduan sedia ada yang dikeluarkan pada 1975.

“Jika dulu, pengumuman untuk pertukaran guru adalah dua kali setahun, tetapi sekarang kita umum empat kali setahun dan permohonan boleh dibuat sepanjang tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan perasmian sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 bertemakan Guru Tunjang Sekolah Sejahtera di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini, hari ini.

Dr Radzi berkata, berita baik itu akan memberi peluang kepada semua guru, termasuk yang cemerlang untuk bergerak dari satu sekolah ke sekolah yang lain untuk menyumbang bakti.

“Bagi tahun 2021, guru yang berjaya dalam pertukaran berjumlah 55 peratus daripada keseluruhan permohonan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkara berkaitan beliau berkata, KPM juga akan mewujudkan aplikasi penyusunan jadual yang akan digunakan semua sekolah di seluruh negara.

Jelas beliau, menerusi aplikasi berkenaan, ia akan memudahkan pihak sekolah menyediakan jadual lebih anjal membabitkan tiga hingga empat subjek sehari.

“Sekarang ini kebanyakan sekolah membeli aplikasi untuk penyediaan jadual daripada vendor tertentu dan hasil kita turun di lapangan juga mendapati pihak sekolah berdepan masalah untuk penyediaan jadual.

“Justeru, KPM tetapkan untuk membangunkan satu aplikasi yang membolehkan sistem terbabit membuat penyusunan jadual berdasarkan maklumat yang diisi pihak sekolah dari segi bilangan guru dan kelas,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here