Halatuju negara perlu diperkemas – Debat Najib vs Anwar

0
26

CYBERJAYA – Halatuju negara perlu diperkemas bagi memperkasakan rakyat dan bukannya memperkukuhkan kedudukan kerajaan yang memerintah.

Kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara yang perlu diubah adalah dasar ekonomi yang dilihat lebih memihak kepada membela golongan korporat kaya namun tidak bebas membantu rakyat bawahan.

“(Dalam membentuk) Halatuju ke depan, perlu proses perubahan untuk mengangkat martabat rakyat dan darjat.

“Dasar ekonomi (yang dibentuk) tidak boleh membawa pada kecenderungan membela korporat kaya. (Dasar yang ada sekarang ini) berat sebelah (bias) pada (golongan) korporat kaya (yang) tak bebas bantu rakyat bawah,” kata Anwar ketika Debat Perdana bersama Datuk Seri Najib Tun Razak, malam tadi.

Tambahnya, pembentukan halatuju tersebut bukan sahaja tugas kerajaan yang memerintah semata-mata, tetapi turut memerlukan kekuatan politik dari pihak pembangkang.

Sementara itu, Najib pula menegaskan, pengurusan ekonomi yang baik yang disokong oleh pentadbiran yang stabil dapat memastikan halatuju Malaysia menjadi lebih cemerlang.

“Saya yakin, Malaysia ada kekayaan dan mempunyai sumber yang mencukupi (untuk) mengangkat kedudukan negara kita ke tahap yang lebih tinggi.

“Saya ingin melihat Malaysia di hadapan, ingin lihat rakyat Malaysia berpendapatan tinggi, dan ini semua hanya akan dapat kita lakukan sekiranya kita mampu menguruskan ekonomi dengan baik dan mempunyai pentadbiran (kerajaan) yang stabil,” kata Najib dalam debat tersebut.

Tambahnya, ia bermula dengan kestabilan politik.

“Ini bukan soal tukar kerajaan. Nak maju, kena ada kerajaan yang mampu buat perancangan jangka panjang.

“Jika asyik tukar kerajaan, kita tak mungkin dapat sediakan perancangan yang jitu untuk dilaksanakan,” tegas Najib.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here