India hadkan eksport gula

0
21
GAMBAR HIASAN

NEW DELHI – Selepas melaksanakan sekatan pengeksportan gandum, India mengumumkan negara itu sudah mula mengehadkan eksport gula.

Langkah itu, lapor AFP, adalah bagi melindungi bekalannya serta mengawal inflasi.

Pengeluar gula terbesar dunia dan pengeksport nombor dua selepas Brazil itu semalam berkata, penghantaran akan dihadkan sehingga 10 juta tan bagi tahun pemasaran semasa hingga September.

“Keputusan itu diambil bertujuan menjamin bekalan domestik serta memastikan kestabilan harga sepanjang musim,” kata Kementerian Makanan India dalam satu kenyataan.

Kata kenyataan itu lagi, eksport gula dijangka mencapai rekod tertinggi tahun ini, dengan kontrak ditandatangani untuk kira-kira sembilan juta tan dan 7.8 juta tan sudah dihantar.

Berikutan inflasi dan keperluan menjaga keselamatan bekalan makanannya, India telah mengharamkan sebarang eksport gandum baharu tanpa kelulusan kerajaan, sejak pertengahan Mei lepas.

Walaupun India adalah pemain kecil dalam pasaran global, langkah itu mencetuskan lonjakan harga makanan global yang sudah melambung tinggi sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Larangan eksport itu juga menyebabkan ratusan ribu tan gandum terkandas di pelabuhan utama di barat India, dengan ribuan trak berbaris panjang bagi menunggu untuk bekalan dipunggah.

Kerajaan India bagaimanapun menegaskan, permintaan gandum atas persetujuan kerajaan kepada kerajaan (G2G) dari negara lain yang bergelut dengan kenaikan harga yang tinggi akan dibenarkan.

Di negara Asia lain, Indonesia menghentikan sementara eksport minyak sawit manakala Malaysia pula menyekat eksport bekalan ayam segarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here