Isu ayam : Kerajaan henti eksport bermula Jun ini

0
63
Kesuntukan bekalan ayam di pasaran menyebabkan kerajaan menghentikan eksport bahan makanan itu ke luar negara.

CYBERJAYA – Kerajaan akan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta sebulan bermula 1 Jun ini ekoran kekurangan bekalan sumber makanan itu di dalam negara sehingga keperluan kembali stabil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini menyatakan kekecewaan terhadap tindakan beberapa buah syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan peningkatan harga dan kekurangan bekalan.

Beliau berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah jangka pendek yang dicapai dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Pada masa yang sama, kerajaan akan mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimum fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Selain itu, kerajaan juga akan memansuhkan approved permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam; mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam; serta menambah dan mengiktiraf loji sembelihan ayam di luar negara.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil berat dan memandang serius terhadap isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang menghimpit seluruh Keluarga Malaysia.

“Ketika ini, kerajaan telah menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 sekilogram dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

“Bagaimanapun, pihak kerajaan mendapati beberapa syarikat besar yang tidak berminat untuk memohon subsidi dan mahukan kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran,” katanya.

Setakat ini, beliau berkata, hanya RM50 juta subsidi telah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil.

Dalam pada itu, kerajaan mengambil maklum mengenai laporan bahawa wujudnya kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar dan perkara itu sedang disiasat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

“Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka. Pada masa yang sama, Kerajaan akan mengurangkan peranan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga.

“Kerajaan akan memperkenalkan semula jihad memerangi orang tengah yang telah saya perkenalkan pada tahun 2014. Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberikan peranan untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah ini,” jelasnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here