Kadar tambang ECRL tidak akan bebankan pengguna 

0
42
Gambar hiasan

CYBERJAYA- Kerajaan tidak berhasrat untuk mengenakan tambang tinggi bagi perkhidmatan penumpang untuk mendapatkan semula kos pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, kadar tambang ECRL itu akan dibuat berdasarkan Akta Pengangkutan Awam Darat.

“Perbincangan yang masih berjalan bagi menetapkan kadar tambang penumpang ECRL untuk setara berbanding kadar tambang yang dikenakan oleh perkhidmatan ETS KTMB di Pantai Barat Semenanjung.

“Seperti yang diketahui, kadar tambang ETS adalah amat berpatutan dan lebih rendah berbanding kadar tiket pesawat bagi laluan dan destinasi di Pantai Barat Semenanjung.

“Penetapan kadar tambang ECRL akan dibuat berdasarkan Akta Pengangkutan Awam Darat dan dalam masa sama berupaya menanggung kos operasi dan penyelenggaraan yang semestinya tidak akan membebankan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Selain itu, beliau berkata, menerusi perkhidmatan pengangkutan kargo bagi kegunaan industri-industri, perkilangan dan pembuatan dijangka menjana lebih 70 peratus daripada sumber pendapatan ECRL apabila ia bakal beroperasi pada tahun 2027 kelak.

“Sama seperti laluan kereta api lain yang beroperasi di Malaysia, struktur tambang ECRL perlu mendapatkan kelulusan Kerajaan sebelum ia beroperasi.

“Ini adalah selaras dengan keperluan Akta Pengangkutan Awam Darat dan Lesen Operator Keretapi di bawah bidang kuasa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebagai pengawal selia,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Azan Ismail mendakwa tambang ECRL dijangka berharga enam kali ganda lebih tinggi berbanding tiket pesawat.

Beliau mempersoalkan sama ada penumpang mampu membayar harga tersebut sebaik projek tersebut siap empat tahun lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here