Kediaman pekerja kilang telur di Masjid Tanah ibarat kem pelarian

0
24
Ngwe Hee Sam menunjukkan keadaan tempat tinggal pekerja di sebuah kilang pengeluar telur ayam di Masjid Tanah, Melaka.

ALOR GAJAH – Tindakan tidak berperikemanusiaan majikan yang dipercayai mengabaikan pekerja kilang pengeluar telur ayam di Masjid Tanah dekat sini terbongkar dalam operasi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka.

Dalam serbuan itu, pekerja kilang berkenaan didapati terpaksa tinggal dalam keadaan daif dan serba kekurangan dengan tidur beralaskan papan, tanpa kemudahan kipas dan dan lampu.

Selain sempit dan kotor, bilik air kediaman yang dikongsi dihuni oleh 27 pekerja sejak lebih 10 tahun lalu itu juga berada dalam keadaan menjijikkan.

Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sam berkata, pihaknya kesal dengan tindakan majikan yang sebelum ini telah diberikan amaran mengenai layanan buruk kepada pekerja.

Katanya, dalam operasi itu pihak majikan mengemukakan alasan telah menyediakan tempat penginapan baharu untuk para pekerja namun belum sempat berpindah.

Bagaimanapun katanya, alasan tersebut tidak dapat diterima kerana amaran telah diberikan sejak beberapa bulan yang lalu.

“Keadaan pekerja di sini amat menyedihkan dan tidak mematuhi syarat kesihatan dan keselamatan pekerja.

“Kami tidak akan berkompromi kepada majikan yang gagal mematuhi arahan dan akan membuka kertas siasatan untuk tindakan,” katanya kepada pemberita semalam.

Pondok daif dan serba kekurangan dijadikan tempat penginapan pekerja asing.

Sehubungan itu Hee Sam berkata, pihaknya akan sentiasa turun padang untuk memastikan semua rumah penginapan pekerja berada dalam keadaan yang mematuhi arahan.

Katanya, majikan juga didakwa melanggar peraturan di bawah Seksyen,24D Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446) kerana tiada perakuan penginapan selain majikan juga belum membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan perakuan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here