Kempen BMF tidak pernah gagal – Coach Fadzil

0
486
COACH FADZIL

CYBERJAYA – Kempen Buy Muslim First (BMF) atau utamakan membeli barangan keluaran umat Islam tidak pernah gagal dan masih berjalan walaupun kempen itu semakin sepi dan tidak sehangat seperti ketika dilancarkan tiga tahun lalu.

Presiden Kumpulan Malakat Eco, Mohd. Fadzil Hashim berkata, gerakan yang pernah menjadi fenomena sekitar 2019 hingga 2020 itu diwujudkan bagi membantu orang Islam di negara ini merancakkan aktiviti ekonomi dalam kalangan sesama Muslim.

Beliau berkata, gerakan yang dipelopori oleh persatuan bukan kerajaan (NGO) Muslim seperti PEMBELA, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan beberapa persatuan lain itu merupakan tanggungjawab bersama dalam menjaga kelestarian dan kemaslahatan umat Islam secara khususnya.

“Pada saya, BMF belum gagal dan tidak akan gagal kerana ini merupakan satu ‘perintah’ kepada kita untuk menjaga umat.

“Gerakan ini diwujudkan bagi membantu ekonomi Islam, terutamanya dalam aspek menjaga sumber makanan kita supaya sentiasa mematuhi konsep halal yang dituntut,” katanya.

Mohd. Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata demikian dalam satu sesi siaran langsung di laman Facebook miliknya, pagi tadi.

“Bila urusan bekalan makanan umat diserahkan pada mereka yang tidak beriman, isu kehalalan makanan tersebut akan timbul.

“Benar, ayam dan daging sembelihan yang dimakan disembelih oleh orang Islam, tetapi adakah kita akan okey jika sumber makanan itu diuruskan oleh mereka yang tiada iman?” soal Coach Fadzil.

Coach Fadzil turut menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa gerakan BMF sudah menemui titik kegagalan disebabkan komposisi negara yang dihuni oleh kepelbagaian kaum dan agama.

“Saya setuju dari aspek kita jangan guris hati bangsa lain tanpa kewajaran. Sebagai contoh, mereka pun boleh berniaga makanan halal, tapi perlu mempunyai rakan kongsi, bukan sekadar pekerja bagi memenuhi keperluan persijilan, yang menjaga aspek keimanan dalam pemprosesan makanan tersebut,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here