Kenaikan tambang bas sekolah dijangka tidak bebankan ibu bapa

0
15
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Kenaikan tambang bas sekolah yang dijangka berlaku tidak lama lagi dijamin tidak akan membebankan ibu bapa.

Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, jumlah peningkatan adalah tidak sama kerana nilainya berpandukan mengikut kawasan dan status masyarakat.

Tambahnya, selepas 1 Jan 2015, kerajaan sudah tidak mengawal tambang bas sekolah menyebabkan jumlahnya ditetapkan oleh keperluan pasaran.

“Untuk kenaikan tambang ini, pihak persatuan hanya boleh memberi nasihat dan garis panduan kepada pengusaha yang biasanya semua itu bergantung terhadap kajian semula penyata untung rugi, juga kata sepakat operator bas sekolah bersama ibu bapa.

“Berdasarkan rekod yang kami ada, tambang bas sekolah pada masa ini adalah antara RM50 contohnya di Keramat, manakala bagi kawasan elit seperti Damansara dan Petaling Jaya boleh mencecah RM300 sebulan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan berhubung ibu bapa perlu bersiap sedia dengan kenaikan tambang bas sekolah di sekitar Lembah Klang yang dijangka bermula minggu depan atau Julai berikutan kos penyelenggaraan serta alat ganti kenderaan meningkat secara mendadak.

Mengulas lanjut, Amali Munif berkata, kos kenaikan tambang itu melibatkan kiraan 44 kali pelajar naik bas dalam sebulan iaitu 22 hari maksimum dengan dua kali naik sehari dan mengikut kadar itu, ia dikira masih di tahap tambang yang masih rendah.

Sementara itu, menurut seorang pengusaha bas sekolah bagi kawasan sekitar Damansara, Mohd. Zaid Zainuddin, kenaikan tambang secara purata RM15 hingga RM25 sebulan boleh dipertimbangkan memandangkan sudah ramai pengusaha bas sekolah yang gulung tikar dan beralih ke industri pekerjaan lain.

“Setakat ini kami sudah memberikan gambaran awal kepada ibu bapa. Perbincangan mengenai kenaikan tambang juga dilakukan supaya mereka tidak terkejut dengan perubahan ini. Ada dalam kalangan mereka memahami serta bersetuju dengan usaha ini, cuma meminta supaya kadar kenaikan tidak terlalu ketara (cadangan RM10 hingga RM15 sahaja kenaikan),” katanya.

Sementara itu bagi seorang lagi pengusaha van sekolah, Shahrul Aidit Ahmad, yang menjalankan operasi mengambil anak-anak sekolah menggunakan van di sekitar Kelana Jaya, Selangor selama 20 tahun berkata, tindakan itu wajar dilakukan berikutan kos penyelenggaraan dan servis kenderaan terlibat sudah meningkat berganda selepas pandemik baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here