Kerajaan beri bantuan RM1,000 kepada mangsa kepala air Janda Baik

0
9
Keadaan sebuah kawasan di Janda Baik, Bentong, Pahang yang terlibat dengan kejadian kepala banjir

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan memberi bantuan kecemasan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Janda Baik, Bentong, Pahang, pagi tadi.

Beliau yang melahirkan simpati seluruh Keluarga Malaysia di atas kejadian itu berkata, bantuan itu diharapkan dapat meringankan beban akibat kerosakan peralatan rumah.

“Bantuan itu akan disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali bersama-sama setiausaha politik saya semasa mereka melawat mangsa nanti.

“Saya kini berada di Amerika Syarikat untuk menghadiri tugas rasmi iaitu Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat di Washington DC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau difahamkan kejadian berlaku akibat hujan lebat pada awal pagi tadi di kawasan hulu Gunung Nuang mengakibatkan fenomena kepala air.

Beliau berkata, penduduk terbabit dalam keadaan selamat dan ramai yang sudah pulang untuk mengemas rumah.

“Saya menasihatkan agar penduduk di sekitar itu sentiasa berhati-hati kerana walaupun keadaan air sungai sudah kembali surut namun ia masih agak deras dan keruh.

“Terima kasih kepada agensi penyelamat yang menghulur tenaga membantu mangsa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here