Kerajaan mohon tambahan kuota 5,000 jemaah haji

0
11
IDRIS AHMAD

BUKIT GANTANG – Kerajaan sudah memohon kepada Arab Saudi supaya diberi tambahan kuota 5,000 jemaah haji bagi ibadah pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada kemampuan yang boleh diberikan oleh negara itu.

“Kami mohon sahaja tetapi bidang kuasa terletak pada Kerajaan Arab Saudi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) Mustafa Samat di Kampung Pasir, Bukit Gantang, hari ini.

Sementara itu, berkenaan surat tawaran mengerjakan haji yang ditolak bagi jemaah yang menghadapi masalah termasuk disebabkan kesihatan dan faktor umur, juga akan ditawarkan kepada jemaah lain.

Sehubungan itu, Idris menasihatkan para jemaah supaya menjaga kesihatan kerana semua bakal haji diwajibkan lulus pemeriksaan kesihatan bagi memperoleh visa haji sebagaimana ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Kami harapkan bakal jemaah haji tumpukan pada kesihatan kerana ibadah haji memerlukan fizikal yang cergas dan kesempurnaan bacaan adalah sunat sahaja.

“Kepada mereka yang tidak lulus, kami harap tahun depan insya-Allah mereka akan diberikan peluang, namun ia tetap ditentukan oleh Arab Saudi,” katanya.

Pada 21 April lepas, Idris mengumumkan kuota haji Malaysia tahun 2022 adalah 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima.

Kuota sebanyak 14,306 itu ialah penurunan daripada 31,600 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan menunaikan Rukun Islam kelima itu pada 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here