Kes Covid-19 kembali naik selepas Aidilfitri

0
40
Peningkatan kes dipercayai berikutan aktiviti kunjung mengunjungi semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

CYBERJAYA – Jumlah kes baharu Covid-19 di negara ini menunjukkan peningkatan ketara selepas seminggu sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan 2,153 kes dilaporkan semalam.

Pertambahan 781 kes berbanding sehari sebelumnya itu menjadikan jumlah kumulatif penularan wabak itu di Malaysia kini sebanyak 4,458,889 kes.

Daripada data dikongsi Covidnow, sebanyak 2,151 kes yang dikesan dalam tempoh itu adalah penularan tempatan, manakala dua lagi kes import.

Selangor menjadi negeri dengan jumlah kes tertinggi iaitu 1,157, diikuti Kuala Lumpur (261) dan Pulau Pinang sebanyak (156).

Sehingga kini terdapat 22,556 kes aktif yang mana, 94.7 peratus atau 21,363 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah, 1,075 kes menerima rawatan di hospital dan 59 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

Terdapat 29 kes dirawat di ICU serta 30 lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Semalam turut merekodkan empat kematian dengan tiga daripadanya kematian di luar fasiliti kesihatan (BID). Tambahan itu menjadikan angka korban akibat Covid-19 di Malaysia capai 35,583 kes.

Sementara itu, kes sembuh dicatatkan sebanyak 2,869, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih adalah 4,400,750 kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here