KKM arah produk mentega kacang jenama Jif ditarik dari pasaran

0
72
Dr Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan pengimport produk mentega kacang jenama Jif menarik balik produk itu dari pasaran tempatan kerana dikhuatiri tercemar dengan bakteria Salmonella.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu diputuskan susulan penarikan balik produk mentega jenama berkenaan dari pasaran Amerika Syarikat (AS).

“KKM mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk mentega berjenama Jif dari pasaran AS kerana dikhuatiri tercemar dengan bakteria Salmonella melalui notis diterima dari International Food Safety Authorities Networks (INFOSAN).

“Notis itu menyatakan Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) telah mengarahkan produk mentega kacang berjenama Jif dengan nombor kumpulan antara 1274425 hingga 2140425 iaitu hanya membabitkan tiga digit terakhir 425, ditarik balik kerana tercemar dengan bakteria Salmonella.

“Melalui semakan KKM ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM), ia mengesahkan produk mentega kacang berjenama Jif berkenan ada diimport ke negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sudah memulakan pemantauan di semua pintu masuk negara bagi memastikan tiada produk itu masuk ke negara ini

Peniaga yang menjual produk berkenaan dengan nombor kumpulan yang sama juga diminta menghentikan penjualan serta-merta, katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Salmonella adalah sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan sekiranya terdapat dalam makanan seperti daging, ayam, telur, buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan yang diproses jika aspek kebersihan diabaikan atau makanan tidak diproses dengan sempurna.

“Sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu ini, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here