KKM tetap waspada walaupun risiko penularan cacar monyet ke Malaysia rendah

0
22
NOOR HISHAM

CYBERJAYA – Risiko penularan virus cacar monyet ke negara ini adalah rendah, namun tidak mustahil sekiranya terdapat sejarah bersentuhan dengan haiwan dijangkiti ataupun kontak langsung dengan pesakit wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkembangan situasi virus itu melalui laporan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan melakukan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa.

Setakat semalam, lebih 100 kes jangkitan cacar monyet membabitkan beberapa negara di Eropah, benua Amerika dan Australia dikesan.

Beliau turut menasihatkan pengembara ke kawasan yang terdapat kejadian cacar monyet seperti di Afrika Tengah dan Afrika Barat serta negara yang sedang mengalami wabak penyakit itu supaya mengambil langkah berwaspada.

“Mengekalkan kebersihan diri yang tinggi termasuk mencuci tangan dengan kerap selepas pergi ke tandas atau apabila tangan kotor. Mengelak sentuhan langsung dengan luka pada mereka yang dijangkiti sama ada manusia mahupun haiwan serta objek yang mungkin tercemar dengan cecair tubuh kes seperti pakaian kotor yang digunakan orang dijangkiti.

“(Pada masa yang sama) Mengelakkan daripada bersentuhan dengan haiwan liar atau memakan dagingnya,” kata Hisham.

Bagi pengembara yang tiba di negara ini dari kawasan terdapat jangkitan wabak cacar monyet dan mengalami gejala penyakit itu dalam tempoh tiga minggu selepas meninggalkan kawasan tersebut, beliau menasihatkan supaya mereka segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Maklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan tersebut. Elakkan daripada kontak langsung dengan individu lain dan lakukan pengasingan diri selama sekurang-kurangnya 21 hari bagi memastikan ruam makulopapular kering sepenuhnya,” katanya lagi.

Jangkitan cacar monyet ini adalah disebabkan oleh virus ‘orthopoxviruses’ yang menular kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti.

Kata Dr. Noor Hisham lagi, virus ini juga boleh disebarkan melalui titisan sekresi pernafasan dan juga boleh menular melalui kontak langsung dengan cecair daripada ruam makulopapular di badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here