KPFB meterai MoU dengan 5 entiti bagi bangunkan projek bernilai RM389 juta

0
25
KPFB meterai MoU bersama 5 entiti bagi membangunkan projek hartanah bernilai RM389 juta

KUALA LUMPUR – Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Bhd (KPFB) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan lima entiti bagi membangunkan tiga lot tanah berkeluasan 3.197 hektar miliknya di Selayang dan Gombak.

Pengerusi KPFB, Datuk Sabari Misran, berkata, projek itu yang membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM389 juta dicadangkan untuk didirikan projek kediaman dikenali KPFB PR1MA dan KPFB Residensi.

Beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan bersama Siab Development Sdn Bhd, Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Bhd (KOPENAS), Koperasi Kakitangan FELCRA Malaysia Bhd (KKF) dan Koperasi Hartanah Angguna Bhd (KOHAB).

“MoU ini membabitkan cadangan pembangunan tanah untuk perumahan di atas Lot 2,146; 2,148; dan 2,150 di Sungai Tua, Gombak milik KPFB. Ia merangkumi pembinaan KPFB PR1MA dan KPFB Residensi di Selayang dengan GDV RM389 juta,” katanya dalam sidang media pemeteraian MoU di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sabari berkata, perjanjian bagi pembangunan dua projek kediaman itu membawa kepada penyertaan KPFB dalam bidang hartanah.

Katanya, pembabitan dalam projek berkenaan dijangka dapat menambah lagi pendapatan koperasi dalam jangka masa pendek dan panjang merangkumi 13 peratus daripada nilai GDV atau RM50 juta kepada KPFB.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan penghargaan terhadap FELCRA Bhd dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang sentiasa memberikan sokongan kepada pihaknya melabur dalam sektor hartanah.

Sementara itu beliau turut mengumumkan, KPFB juga melantik KOPENAS, KKF dan KOHAB yang memiliki keahlian yang ramai sebagai ejen jualan bagi projek berkenaan.

“Pada masa sama, kami juga akan melantik ejen berkemampuan lain untuk membantu memasarkan projek ini.

“Beberapa bank juga dijemput untuk menjadi bank panel antaranya Bank Rakyat, Affin Islamic Bank dan Co-opbank Pertama Bhd (CBP),” katanya.

Pembinaan bagi projek pembangunan KPFB dijangka bermula Oktober ini dan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here