KPM tubuh jawatankuasa khas tambah baik prosedur kes gangguan seksual dan buli

0
8

CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti dan menambah baik prosedur kes gangguan seksual dan buli di semua institusi miliknya.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh lapan individu yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin semalam menyerahkan watikah pelantikan kepada lapan anggota jawatankuasa berkenaan.

“Penubuhan jawatankuasa khas ini merupakan antara pendekatan KPM untuk mendapatkan solusi terbaik dalam menangani kes berkenaan gangguan seksual dan buli di institusi pendidikan bawah KPM.

“Kami yakin serta percaya, dengan pengalaman dan kepakaran ahli-ahlinya, jawatankuasa khas ini akan dapat membantu KPM meneliti secara mendalam dan seterusnya mengesyorkan pelan tindakan bersesuaian yang boleh diambil bagi menangani kes gangguan seksual dan buli di institusi pendidikan bawah KPM,” kata Radzi di laman Facebooknya, hari ini.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim.

Selain itu, jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Datuk Sutinah Sultan, Datuk Sulaiman Wak, Prof. Datin Mariani Md. Nor, Lt. Kol Bersekutu (PA) Aminuddin Awang, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, Prof. Madya (Kehormat) Datuk Dr. Sundramoorthy, dan ACP Siti Kamsiah Hassan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here