Larangan penggunaan e-skuter di jalan raya perkara serius -MOT

0
25
Pengguna e-skuter di jalan raya yang masih berdegil dengan arahan itu akan dikenakan tindakan tegas.

PUTRAJAYA – Pengguna skuter elektrik atau e-skuter yang masih menggunakan peralatan mobiliti itu di jalan raya akan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mengulangi amaran itu ekoran pihaknya masih menerima aduan mengenai penggunaan e-skuter di jalan raya sehingga membahayakan pengguna lain.

Beliau berkata, walaupun arahan larangan mengenai perkara itu telah dikeluarkan tetapi masih ramai yang tidak mematuhinya.

Sementara itu menurut Ka Siong, terdapat juga segelintir pihak yang mempersoalkan tindakan tersebut seolah-olah kerajaan bertindak tidak adil dalam isu itu.

“Ada yang bertanya kepada saya mengapa kerajaan nak haramkan e-skuter atas jalan, saya tidak kata betul atau salah (penggunaan). Cuma saya cakap gunalah kenderaan itu di tempat khas dan bukan di atas jalan raya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri di sini semalam.

Menurut Ka Siong lagi, penggunaan alat itu tidak diharamkan sekiranya pengguna tidak menggunakannya di jalan raya.

“Mungkin Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh sediakan laluan khas, saya tiada masalah,” katanya.

Beliau berkata, selain menjaga keselamatan pengguna jalan raya, larangan itu juga melibatkan keselamatan penggunaan e-skuter itu sendiri.

“Jika dilanggar sehingga cedera atau mati, siapa bertanggungjawab? Insurans siapa? Siapa yang kita akan salahkan? Janganlah tunggu sehingga sesuatu yang buruk berlaku,” tegas beliau.

Kerajaan sebelum ini melarang penggunaan e-skuter di atas jalan raya atau kawasan selain yang digazetkan. Kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Penggunaan alat tersebut hanya dibenarkan di tempat yang digazetkan seperti di taman permainan, kawasan pejalan kaki dan kawasan sekitar pusat beli-belah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here