Lelaki dikehendaki kes dadah, SOSMA maut ditembak individu tidak dikenali

0
153
Mangsa ditembak ketika membuka pintu kenderaannya.

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia 36 tahun maut ditembak empat individu yang tidak dikenali dalam satu kejadian berhampiran sebuah restoran di Jalan Kampung Baru, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 12.38 tengah hari itu, suspek dipercayai melepaskan sekurang-kurangnya lapan das tembakan yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di badan serta muka dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa berusia 36 tahun dikatakan datang ke restoran terbabit bersama isteri, seorang kanak-kanak dipercayai anak angkat serta rakannya dan baru selesai membungkus makanan untuk dibawa pulang.

Bagaimanapun, sebaik membuka pintu kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya, mangsa dihampiri empat lelaki yang menunggang motosikal dan terus melepaskan tembakan dari jarak dekat dan difahamkan ketika itu isteri dan anak mangsa masih berada dalam kedai.

Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, siasatan mendapati empat lelaki memakai topi keledar penutup penuh serta berjaket menghampiri dan melepaskan tembakan terhadap mangsa.

Siasatan lanjut turut mendapati, mangsa merupakan individu dikehendaki polis berikutan kes dadah dan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dipercayai terbabit dalam kumpulan kongsi gelap.

“Setakat ini, kita juga sedang mengesan semua suspek dan akan meneliti kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian bagi memudahkan siasatan,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here