
KUALA LUMPUR – lelaki ditemukan maut di dalam sebuah kereta mewah jenis McLaren di hadapan sebuah pusat hiburan berhampiran bulatan Jalan Sungai Besi, Jalan Pudu di sini petang semalam.
Mangsa yang berusia 28 tahun ditemukan selepas orang ramai mendapati lelaki yang berada di tempat duduk pemandu kenderaan tersebut tidak sedarkan diri
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Najilan Che Pa berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada 6.03 petang sebelum menggerakkan jentera ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati sebuah kereta mewah model McLaren yang berada di kawasan parkir pusat hiburan berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Anggota kemudian bertindak membuka pintu kereta berkenaan menggunakan alatan khas. Sebaik berjaya dibuka, pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia tanpa sebarang unsur jenayah.
“Siasatan awal mendapati kereta yang digunakan adalah kereta sewa jadi kita masih menyiasat dari semua sudut berhubung penemuan mayat lelaki ini,”katanya.
Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
“Kita juga turut sedang menyiasat bagaimanakah kereta yang dinaiki si mati berada di hadapan pusat hiburan berkenaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999.