Lelaki lagak samseng di Jalan Temiang-Pantai dicari polis

0
74
Seorang lelaki cuba membaling objek ke arah sebuah kenderaan yang melalui Jalan Temiang-Pantai di sini semalam

SEREMBAN – Seorang lelaki yang berlagak seperti samseng jalanan dengan cuba membaling objek ke arah sebuah kenderaan yang melalui Jalan Temiang-Pantai di sini semalam sedang dikesan polis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada tengah hari Ahad.

“Bertindak atas rakaman yang diperoleh, satu siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pesalah yang terlibat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan halangan di atas jalan yang boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 268(1) Kanun Keseksaan kerana melakukan mudarat awam dan boleh didenda tidak melebihi RM400.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat terhadap kes ini boleh salurkan kepada pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Fadzilah di talian 016-2895801.

“Polis sentiasa melakukan pemantauan dan penguatkuasaan di lokasi-lokasi tumpuan dan mengingatkan kepada semua pihak untuk lebih bertanggungjawab serta memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya, katanya,” katanya.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi 10 saat yang memaparkan tindakan lelaki itu tular di media sosial sejak malam semalam.

Ia dipercayai berlaku selepas pemandu kenderaan terbabit membunyikan hon kepada sekumpulan penunggang motosikal yang berhenti dan meletakkan motosikal mereka di lorong kecemasan di laluan berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here