
KUALA SELANGOR – Siapa sangka sebuah bukit di sini yang dahulunya menjadi pusat pemerintahan negeri Selangor ketika abad ke-18 pernah menjadi saksi korban manusia pada ketika dahulu.
Dikenali sebagai Bukit Malawati, bukit ini yang terletak di muara Sungai Selangor dan menghadap Selat Melaka dan Sumatera, Indonesia menyimpan seribu satu kisah sejarah dan misteri tersendiri.
Bagi penduduk tempatan, bukit yang pernah menjadi tempat bersemayan tiga Sultan Selangor terawal bukan sekadar bukit biasa kerana pernah menjadi sebuah medan perang yang sehingga kini menjadi bual mulut masyarakat tempatan.
Perang yang digelar “Perang Satu Malam” itu telah menamatkan penjajahan Belanda di bukit itu apabila Sultan Ibrahim, Sultan Ke-2 Selangor telah berjaya menawannya dalam masa satu malam sahaja.
Selain itu, terletak di kaki bukit tersebut berhampiran dengan tangga seratus, terdapat sebuah perigi beracun yang menjadi tempat penderhaka diseksa dan dibunuh dengan kejam.

Perigi tersebut yang masih utuh berdiri dengan kedalaman hampir 10 kaki diisi dengan racun hasil campuran getah dan miang rebung sebelum dituang sehingga paras dagu sebelum penderhaka sultan diseksa.
Terdapat juga batu hampar yang berkakikan gumpulan tanah dan dipercayai telah digunakan sebagai alas untuk memancung kepala penderhaka.

Uniknya batu hampar ini, ia diletakan di hujung halaman istana sultan menuruni tiga anak tangga dan menghadap cahaya matahari terbit.
Menurut seorang pengkaji sejarah, Firdaus Bahrun, kepala mangsa perang yang dipancung juga akan disusun di atas batu hampar itu.

“Batu Hampar itu juga pernah menjadi korban seorang anak dara namun kisah ini belum dapat dibuktikan dari sudut penceritaanya,” katanya dalam satu temubual bersama Malakat Tribune
Di samping itu, menurut cerita penduduk tempatan dahulunya rumah-rumah pegawai daerah terletak di atas bukit berkenaan namun kini, rumah tersebut telah ditinggalkan kosong selama berpuluh tahun tanpa penghuni.
Ada yang mengatakan puncanya disebabkan oleh gangguan makhluk halus namun sehingga kini tiada siapa yang mengetahui punca sebenar akan rumah di bukit berkenaan yang tidak berpenghuni sehingga ke hari ini.
Di sebalik kisah seram yang sering menjadi bualan orang ramai, pelancong dari dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke lokasi yang penuh dengan sejarah itu pada setiap hujung minggu.

Selain perkhidmatan tren dan Muzium Sejarah Kuala Selangor, Bukit Malawati turut menyajikan pengunjung dengan pemandangan yang indah dari atas bukit menghadap laut selat Melaka.