Nahas LRT: Prasarana sudah laksana 16 daripada 23 inisiatif Jawatankuasa Siasatan

0
9
Dalam kejadian pelanggaran pada 24 Mei tahun lalu itu, 166 penumpang mengalami kecederaan ringan manakala 47 lagi cedera parah. – MALAKAT TRIBUNE/FARID JANUDIN

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah melaksanakan 16 daripada 23 inisiatif yang disyorkanberikutan insiden pertembungan tren Transit Aliran Ringan (LRT) jajaran Kelana Jaya dalam terowong bawah tanah antara Stesen KLCC dan Stesen Kampung Baru pada 24 Mei tahun lalu.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, baki sebanyak tujuh lagi inisiatif berjangka panjang dijangka diselesaikan sepenuhnya pada akhir tahun ini.

“Dalam perkembangan berkaitan, kementerian melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sentiasa memantau rapi perkembangan terhadap usaha-usaha Prasarana dan Rapid Rail dalam melaksanakan kesemua 23 inisiatif yang disyorkan Jawatankuasa Siasatan pada 9 Jun tahun lalu.

“Bagi memantapkan 23 inisiatif sedia ada, terbaharu pihak Prasarana dan Rapid Rail menambah tiga lagi langkah penambahbaikan.

“Ia termasuklah pemasangan kamera litar tertutup di dalam Pusat Arahan Operasi (OCC) yang akan siap pada 27 Julai 2021, meningkatkan tahap boleh lihat penanda sektor landasan dan pemasangan papan tanda di dalam terowong yang siap pada 30 November 2021 dan menaik taraf sistem komunikasi radio kepada digital sepenuhnya bermula pada suku keempat 2022,” katanya dalam satu sidang akhbar, hari ini.

Ka Siong menambah, secara keseluruhannya, kementerian juga telah memperuntuk RM450 juta bagi inisiatif-inisiatif penambahbaikan yang sama.

Daripada peruntukan itu, katanya, sebanyak 80 peratus atau RM350 juta diperuntukkan kepada sistem pengesanan tren elektronik time-out bagi memudahkan pengesanan tren memandangkan, laluan Kelana Jaya yang beroperasi sejak 1998 itu masih beroperasi dengan sistem lama.

“Antara inisiatif jangka panjang lain yang juga sedang dijalankan Prasarana termasuk kursus latihan dan pensijilan semula secara berkala bagi mengekalkan kecekapan pengawal OCC dan pemandu, melaksanakan kajian dan penilaian RAMS (reliability, availability, maintainability and safety) ke atas sistem tren dan aset Prasarana dan Rapid Rail selain memperkenalkan hot button untuk mempermudahkan kawalan OCC ke atas tren semasa situasi menjadi kritikal,” katanya.

Kejadian pelanggaran pada 24 Mei tahun lalu melibatkan 213 penumpang, dengan 166 mengalami kecederaan ringan manakala 47 lagi cedera parah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here