PAU Khas: Usul pinda perlembagaan dilulus sebulat suara

0
20

KUALA LUMPUR – Kesemua para perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas hari ini memilih untuk memberikan kuasa kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menentukan tempoh masa pemilihan parti.

Berikutan itu, MKT UMNO akan diberi dua pilihan di bawah fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan.

Usul tersebut diluluskan secara sebulat suara oleh 2,586 perwakilan UMNO dari 192 bahagian yang hadir di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Ketika memulakan PAU Khas, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan persidangan itu diadakan seiring ketetapan di bawah Fasal 8.5 dan Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan sudah dipersetujui dalam mesyuarat MKT pada 14 April lalu.

Turut hadir pada PAU Khas kali ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli MKT, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta kepimpinan sayap UMNO.

Draf pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO antara lain berbunyi – “Menggesa pindaan perlembagaan parti berhubung fasal pemilihan dilakukan dalam waktu yang sesuai dengan memaktubkan pemilihan parti hendaklah diadakan dalam tempoh enam bulan selepas setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) persekutuan dilaksanakan.

“Ini bagi memastikan seluruh kekuatan parti dapat digemblengkan bagi menghadapi PRU tanpa sebarang ancaman dan risiko perpecahan,” menurut usul pindaan yang dibacakan Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan UMNO.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here