Pemain bola sepak ditahan, disyaki rogol rakan wanita

0
174

KOTA BHARU – Seorang pemain bola sepak ditahan selepas disyaki merogol seorang gadis yang juga merupakan rakannya di sebuah rumah di daerah ini, kelmarin.

Laporan portal Kosmo menyebut, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun sebagai berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan dirumahnya selepas pihak polis menerima laporan daripada mangsa.

Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari semasa gadis berusia 18 tahun itu berada di rumahnya seorang diri.

Suspek telah datang ke rumah mangsa yang bekerja sebagai jurujual tudung dan bertindak masuk ke rumah gadis berkenaan ketika dia keluar membuang sampah.

“Pemain bola sepak itu dipercayai telah monolak mangsa dari belakang sebelum mengheretnya ke atas katil di dalam bilik tidur sebelum merogol gadis tersebut.

“Mangsa telah melawan dan menjerit meminta pertolongan namun semua ahli keluarganya tiada di rumah ketika itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Cinta Dan Air Mata Peringkat Zon Kelantan dan Terengganu di Pantai Cahaya Bulan Resort, hari ini.

Mangsa yang kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini bagi menjalani pemeriksaan perubatan, dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan koyakan baharu pada kemaluan gadis itu.

Berdasarkan siasatan, mangsa mengenali pemain bola sepak itu dan suspek didakwa pernah menghantar mesej berbaur lucah melalui WhatsApp kepadanya.

“Semakan mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Polis telah merampas baju dan seluar yang dipakai suspek semasa kejadian tersebut untuk membantu siasatan,” katanya.

Tambah Muhamad Zaki, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here