Pemandu bas ekspress ditahan dipercayai positif ganja

0
20

MELAKA – Seorang pemandu bas ditahan selepas dipercayai positif dadah jenis ganja dalam satu operasi penguatkuasaan sempena Aidilfitri di Terminal Bas Melaka Sentral, malam tadi.

Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff, lelaki berusia 38 tahun yang juga pemandu gantian, digaji sebuah syarikat bas ekspres di terminal berkenaan ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas gagal ujian saringan urin kira-kira 9.30 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan sepatutnya memandu bas ekspres dari Melaka ke Kedah dan jadual perjalanan bas tersebut adalah pada pukul 10 malam tadi.

“Tindakan segera telah dilakukan pihak syarikat bas ekspres berkenaan dengan menukar pemandu lain bagi memastikan penumpang sampai ke destinasi mereka mengikut jadual perjalanan ditetapkan dengan selamat.

“Pemandu tersebut juga adalah individu dalam pengawasan AADK di Kedah atas kesalahan dadah dan dimaklumkan datang ke Melaka untuk menggantikan pemandu syarikat bas ekspres terlibat,” katanya kepada Bernama di lokasi operasi, malam tadi.

Muhammad Firdaus berkata, sebanyak 122 pemandu bas ekspres dan 326 bas ekspres di terminal berkenaan telah diperiksa serta sebanyak 53 slip pemeriksaan bas telah dikeluarkan bagi memastikan kenderaan selamat digunakan khususnya dari aspek keselamatan tayar dalam operasi dijalankan pada 26 April hingga Khamis (5 Mei).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here