Pemulihan ekonomi Malaysia terus berdaya tahan – Ketua Perangkawan

0
29
Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

CYBERJAYA – Proses pemulihan ekonomi Malaysia akan terus berdaya tahan dengan paras indeks pelapor (IP) terus menunjukkan arah aliran menaik dengan mencapai 111.3 mata
pada bulan Mac lalu berbanding 110.9 mata pada Februari.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, IP itu merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Beliau berkata, kenaikan 0.4 peratus itu disokong terutamanya oleh Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan (0.3 peratus) dan Bilangan Syarikat Baru Didaftar (0.3 peratus).

“Namun begitu, IP tahun ke tahun menurun kepada negatif 1.5 peratus pada Mac 2022
terutamanya disebabkan oleh kejatuhan dalam Import Benar Logam Asas Berharga
dan Logam Bukan Ferus Lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, ekonomi jangka pendek pula dijangka kekal berada di landasan pemulihan meskipun berlakunya kenaikan harga komoditi berikutan konflik global yang berlarutan menyebabkan kemerosotan lanjut dalam kuasa beli untuk mencapai pemulihan yang lancar dan mampan.

Beliau berkata, Prestasi Indeks Serentak (IS) pula meningkat sebanyak 3.1 peratus kepada 117.9 mata pada Mac lalu sekali gus mencerminkan aktiviti ekonomi yang menggalakkan pada bulan yang sama pada 2021.

“Perbandingan bulan ke bulan IS mencatatkan peningkatan sebanyak 1.4 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan signifikan dalam Kapasiti Penggunaan di sektor Pembuatan (0.7 peratus) dan Jumlah Guna Tenaga di sektor Pembuatan (0.4 peratus).

“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022 dan Survei Ekonomi Tahunan 2022 (AES 2022) bermula 15 April sehingga 30 September 2022.

“DOSM amat menghargai kerjasama daripada responden yang terpilih untuk memberikan maklumat kepada DOSM serta menjayakan survei ini. Sila layari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut.

“DOSM juga menerbitkan statistik ekonomi dan sosial iaitu PocketStats yang mengandungi statistik suku tahunan dan tahunan yang boleh diperoleh dari portal DOSM atau melalui pautan https://bit.ly/PocketStatsS1_2022,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here