Pengalaman unik tunai solat sunat Aidilfitri di Stadium Ewood Park

0
50

LANCASHIRE – Ribuan umat Islam di bandar ini berjaya merasai pengalaman unik menunaikan solat sunat Aidilfitri di padang bola sepak apabila kelab Blackburn Rovers FC membuka pintu stadiumnya pada hari pertama perayaan itu, semalam.

Inisiatif ini sekaligus menjadikan Rovers sebagai kelab bola sepak pertama di United Kingdom (UK) yang berbuat demikian.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rovers, Steve Waggot, sambutan menandakan satu perkembangan signifikan, bukan sahaja untuk kelab berkenaan, tetapi untuk bola sepak di seluruh dunia.

“Untuk melihat kesemua ahli keluarga, yang sebahagian besar daripada mereka tidak pernah terfikir akan dapat menjejakkan kaki ke (Stadium) Ewood Park, berjalan di atas padang ini cukup memberi makna yang mendalam, dan ia adalah sesuatu yang indah untuk diperhatikan.

“Dan kini mereka sudah melihatnya, dan mereka mendapat satu pengalaman yang cukup indah. Harapnya mereka akan terus kembali,” katanya di laman Twitter Blackburn Rovers FC.

Imam yang mengetuai solat sunat berkenaan, Wasim Kempson, turut menzahirkan penghargaan kepada Rovers kerana membuka stadium tersebut untuk digunakan dalam majlis tersebut.

“Kami sangat berterima kasih kepada Blackburn Rovers kerana membuka pintu mereka, membenarkan kami menunaikan solat sunat di atas padang ini.

“Ia membuktikan hubungan baik antara masyarakat setempat dan kelab bola sepak ini.

“Ini merupakan satu contoh untuk semua kelab di luar sana, bahawa Rovers mengamalkan keterbukaan, selain membuktikan kita semua tetap boleh bersama di sebalik kepelbagaian,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here