Penunggang motosikal belasah warga emas di jalan raya ditahan polis

0
66
Tangkap layar sebuah video seorang penunggang motosikal memukul seorang warga emas

SHAH ALAM – Polis menahan seorang penunggang motosikal yang tular memukul seorang lelaki warga emas di jalan berdekatan jejantas Padang Jawa, di sini, semalam.

Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan selepas mangsa berusia 61 tahun tampil membuat laporan, kira-kira pukul 2 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang juga pesara swasta memandu bersama isteri dan cucunya menuju ke Putrajaya pukul 12 tengah hari.

Beliau berkata, ketika membelok ke kanan menghala ke Alam Avenue, suspek yang menunggang Yamaha Y15 dipercayai menjerit dan memarahi mangsa.

“Mangsa kemudian berhenti untuk memeriksa sekiranya ada perlanggaran, namun suspek terus menendang dada kirinya.

“Suspek kemudian duduk atas badan mangsa dan menumbuk muka dan kepala bertubi-tubi hingga menyebabkan bengkak bawah mata serta kepala selain sakit di rusuk,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Kata Mohd. Iqbal, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, katanya, penunggang motosikal itu direman esok bagi membantu siasatan.

Katanya, individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Syuhada Aziz di talian 018-9124770.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan seorang lelaki memukul warga emas itu sehingga terjatuh atas jalan.

Beberapa orang awam yang melihat insiden tersebut kemudian menghampiri dan cuba menghentikan perbuatan itu yang menerima kecaman netizen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here