Perak pertimbang laluan alternatif Terowong Menora

0
56
Laluan berhampiran Terowong Menora yang ‘popular’ sebagai kawasan kemalangan maut terutama pada musim perayaan.

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hari ini mengumumkan akan melaksanakan projek jalan pintas bagi mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan di kawasan Terowong Menora di sini.

Beliau berkata, cadangan pembinaan jalan pintas sepanjang 64 kilometer itu akan dilaksanakan melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

Menurutnya, berdasarkan cadangan awal, pembinaan laluan itu akan bermula dari Gopeng melalui Siputeh dan berakhir di Kuala Kangsar.

“Kita sedang menunggu syarikat yang berkenaan, bila dia dah siap dengan ‘funder’, saya ingat dia akan memulakan pembinaan itu.

“Kita harap itu satu daripada kaedah bagaimana kerajaan negeri cuba untuk mengelakkan kemalangan di situ,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Saarani berkata demikian pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak di sini, hari ini.

Laluan berhampiran Terowong Menora di Lebuhraya Utara Selatan (Plus)
merupakan antara kawasan hotspot kemalangan terutama pada musim perayaan.

Keadaan jalan yang berbukit dan berselekoh dikatakan menjadi punca kerap berlaku kemalangan dan kenderaan rosak di kawasan itu.

Terbaharu, lima rakan sepengajian Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) maut selepas dirempuh sebuah lori di Kilometer 245.2 lebuh raya berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here