Perang dagang AS, China beri kesan negatif kepada dunia – tegas PM dalam Persidangan Nikkei

0
17
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

TOKYO – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa dasar sehala atau unilateral yang diperkenalkan kuasa besar dunia hanya akan memberikan tekanan kepada pihak lain termasuk pihak ketiga yang tidak terlibat langsung.

Beliau berkata, sebagai contoh perang perdagangan melibatkan Amerika Syarikat (AS) dengan China hanya menyebabkan daya saing satu pihak sahaja.

“Lihat sahaja perang perdagangan melibatkan Amerika Syarikat (AS) dengan China. Pengenalan tarif secara diskriminasi dan juga renjatan terhadap pelbagai rantaian bekalan telah memberikan kesan negatif di seluruh dunia.

“Inilah masalah yang dihadapi di Asia Tenggara yang mempunyai hubungan rapat dengan ekonomi kedua-dua negara.

“Kebanyakan yang saya katakan tadi sekadar beberapa contoh perkembangan terkini yang menjadi cabaran kepada para pembuat dasar di Asia. Seperti mana negara-negara membangun lain, Malaysia juga bergantung kepada keadaan serantau yang stabil, inklusif dan makmur,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Ke-27 Mengenai Masa Depan Asia di Persisangan Nikkei hari ini.

Ucapan beliau disampaikan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengusulkan tiga perkara utama yang membolehkan Asia memainkan peranan dalam menerajui dunia yang berbelah pendirian.

Beliau berkata, perkara itu adalah Memperkasakan Integrasi Ekonomi Serantau, Mengukuhkan Kerjasama dan Mekanisme Perundingan serta Bermuafakat dalam Menangani Cabaran Perubahan Iklim.

“Perkara utama dalam memperkasakan integrasi ekonomi serantau adalah menumpukan kepada usaha mengukuhkan kemampuan rantau Asia dalam menangani perubahan dalam globalisasi selepas pasca pandemik.

“Transformasi ekonomi Asia sejak lebih dua dekad lalu telah menyaksikan rantau ini menjadi pemain utama dalam ekonomi global. Keberhasilan ini dapat dilihat daripada peningkatan usaha kerajaan dan sektor swasta untuk mengukuhkan integrasi ekonomi rantau ini dalam aliran dagangan dunia, pelaburan, bakat dan teknologi.

“Berikutan itu, bagi tempoh antara tahun 2000 hingga 2017, penguasaan Asia dalam keluaran dalam negara kasar dunia, daripada segi kesetaraan kuasa beli, meningkat daripada 32 peratus kepada 42 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata, keadaan itu ternyata berbeza dengan Eropah yang menyaksikan berlaku penurunan daripada 26 peratus kepada 22 peratus, manakala Amerika Utara daripada 25 peratus kepada 18 peratus dalam tempoh yang sama.

Bagaimanapun, katanya, segala-galanya berubah apabila krisis pandemik Covid-19 memuncak.

Beliau berkata, ini kerana kegiatan perdagangan serantau meningkat apabila kebanyakan perniagaan lebih menjurus di Asia kerana rantaian bekalannya lebih pendek dan berdaya tahan tinggi.

“Berdasarkan pola perdagangan, jumlah perdagangan dalam kalangan negara Asia adalah besar; eksport barangannya berada pada purata 59 peratus bagi tahun 2016 hingga 2020. Ini menunjukkan Asia mampu mempengaruhi trend atau arah aliran perdagangan dunia jika pendekatan diambil lebih bersifat serantau,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri juga menggesa Asia dan rakan kerjasama global untuk bersama-sama bertindak menangani cabaran perubahan iklim.

Beliau berkata, Asia, terutamanya Asia Tenggara merupakan kawasan paling terdedah kepada kesan perubahan iklim yang mana pada tahun lalu, lebih 57 juta penduduknya menjadi mangsa bencana berkaitan perubahan iklim di rantau Asia Pasifik.

Beliau mengingatkan keadaan itu dijangka bertambah buruk seiringan dengan masa.

“Menjelang tahun 2050, sebahagian besar Asia bakal berdepan dengan peningkatan suhu, hujan serta gelombang haba yang melampau, sekali gus akan menyebabkan berlaku kemusnahan yang dahsyat kepada ekonomi dan masyarakat.

“Prospek berlakunya perubahan persekitaran fizikal, dan juga kesan daripada perpindahan manusia secara paksa bakal memberikan impak ketara kepada alam sekitar. Malah, ia turut menimbulkan kerumitan yang besar kepada tahap keselamatan antara negara.

“Oleh itu, sudah tiba masanya, para pembuat dasar menerima hakikat dan mengakui bahawa perubahan iklim akan mengubah semula usaha yang dilakukan ke arah memelihara keamanan, kemakmuran dan keselamatan serantau,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here