Pesawat China Eastern ‘dalam kawalan seseorang’ ketika jatuh menjunam

0
50
GAMBAR HIASAN

BEIJING – Data penerbangan pesawat China Eastern yang terhempas di wilayah Guangxi pada 21 Mac lalu mendapati, pesawat itu terbang dalam kawalan manual seseorang ketika menjunam jatuh.

Laporan The Wall Street Journal semalam menyebut, dapatan itu adalah berdasarkan data yang berjaya diperoleh dari kotak perakam data penerbangan yang berjaya ditemukan.

Imej dirakam kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan objek dipercayai pesawat malang itu sedang jatuh menjunam pada 21 Mac lalu.

“Pesawat itu berfungsi sebagaimana ia diarahkan seseorang yang berada di dalam kokpit,” kata satu sumber kepada The Wall Street Journal, semalam.

Ketika kejadian, pesawat Boeing 737-800 yang sedang dalam perjalanan dari Guangzhou ke Kunming itu membawa 133 penumpang dan anak kapal.

Tiada mangsa yang terselamat dalam kejadian itu.

Sementara itu, China Eastern berkata, pihaknya belum menemukan sebarang kerosakan teknikal berdasarkan data yang diperoleh.

Pasukan penyiasat kini menumpukan siasatan terhadap tindakan juruterbang pesawat malang itu, sambil tidak menolak kemungkinan insiden itu disebabkan oleh individu yang berjaya menceroboh masuk ke dalam kokpit.

China Eastern bagaimanapun menafikan senario rampasan apabila mendedahkan tiada sebarang isyarat kecemasan diterima daripada pesawat itu sebelum ia terhempas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here