Pilih AS, China atau berkecuali, ucapan PM sempena Persidangan Nikkei bakal jadi tumpuan dunia

0
31
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Perubatan daripada Presiden Universiti Nihon, Dr Naoto Kato semalam.

LAWATAN kerja selama enam hari ke Jepun oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh dianggap sebagai lawatan lazim oleh ketua negara.

Memang benar lawatan tersebut bersempena dengan ulang tahun ke 40 tahun Dasar Pandang Timur yang banyak mewarnai hubungan Malaysia dan Jepun yang bukan sahaja dalam hal ekonomi, tetapi juga diplomatik dan juga geopolitik.

Tidak dinafikan juga dasar ini adalah asas hubungan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) tetapi juga menjadi pengikat hubungan rakyat dengan rakyat (P2P) tetapi paling menarik adalah lawatan Perdana Menteri juga bersempena dengan Persidangan Nikkei ke-27 yang membawa tema membawa maksud hala tuju Asia dalam keadaan dunia global yang berbelah bahagi terutama sekali dalam hal geopolitik antarabangsa.

Jika dikaitkan tema Persidangan Nikkei dengan Dialog Keselamatan Kuadrilateral (QUAD) yang dianggotai oleh Amerika Syarikat (AS), Australia, Jepun dan India yang berlangsung pada waktu yang sama, maka ucap tama Persidangan Nikkei bakal disampaikan oleh Perdana Menteri sudah pasti akan menarik perhatian pemerhati.

Ini adalah kerana matlamat QUAD khusus untuk mengekang pengaruh China di rantau Indo Pasifik dan jika digabung satu lagi pakatan pertahanan yang dinamakan AUKUS, maka amat jelas sudah tercetus dua kumpulan negara Asia iaitu negara yang samada menyokong dua kuasa besar yang bertelagah iaitu AS atau China.

Prof Dr Azmi Hassan

Perdana Menteri sudah pasti akan menekankan bahawa Malaysia dan juga ASEAN tidak mahu berpihak dan terjebak dalam perseteruan kuasa besar. Dasar Kuala Lumpur dalam isu Perang Ukraine adalah amat jelas iaitu kita tidak berpihak.

Dasar Kuala Lumpur dalam hal tuntutan bertindih Laut China Selatan juga jelas, iaitu tidak berpihak dengan kuasa besar yang terlibat secara langsung iaitu AS dan China.

Jika dalam pertemuan Perdana Menteri dengan Presiden Joe Biden dalam Sidang Kemuncak AS ASEAN dua minggu lepas, Ismail Sabri telah menimbulkan isu Palestin yang mana AS mempunyai pengaruh yang amat besar, maka besar kemungkinan dalam ucap tama Persidangan Nikkei nanti, sudah pasti jua Perdana Menteri akan menengahkan isu yang mungkin tidak akan di usik oleh pemimpin dunia lain terutama sekali dalam hal persengketaan diantara kuasa besar.

Oleh Prof Dr Azmi Hassan
Pakar Geostrategis
Universiti Teknologi Malaysia

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Malakat Tribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here