Polis buka kertas siasatan anak Ahli Parlimen diiring motosikal polis 

0
80
Invididu yang didakwa anak Ahli Parlimen sedang memandu kereta sambil diiringi polis.

GEORGETOWN – Polis Pulau Pinang telah membuka satu kertas siasatan tatatertib ke atas dua anggota polis yang menggunakan motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengiringi seorang lelaki awam di Jalan Bukit Gambir, dekat sini semalam.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Shuhaily Zain, pihak polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki memandu sebuah kenderaan sambil diiringi dua anggota polis trafik menggunakan motosikal PDRM.

“Pada Sabtu (semalam), kira-kira jam 8.36 malam, terkesan satu rakaman video yang tular berdurasi 20 saat, dimuat naik oleh pemilik akaun ‘anwarazeez’.

“Kontinjen Pulau Pinang mengesahkan kejadian yang berlaku di Jalan Bukit Gambir itu dan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular klip video di laman sosial Facebook, kelihatan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen.

Paparan video berkenaan mendapat kecaman warganet yang tidak berpuas hati dengan individu tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here