Polis tahan guru taska dera kanak-kanak

0
23
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Rupiah Abd Wahid

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang wanita berusia 24 tahun yang juga merupakan guru di taska selepas menerima laporan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dipercayai didera di sebuah taska di Tampoi, di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Rupiah Abd Wahid berkata, satu laporan polis mengenai kejadian berkenaan telah dibuat oleh ibu kanak-kanak itu semalam susulan video kejadian dera itu tular menerusi media sosial.

“Wanita itu direman hingga 17 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, kanak-kanak itu yang merupakan seorang hiperaktif dan masalah lambat bercakap telah ditempatkan oleh ibu bapanya di taska berkenaan yang merupakan pusat jagaan untuk kanak-kanak normal dan kanak-kanak berkeperluan khas.

“Hasil siasatan melalui rakaman kamera litar bertutup (CCTV) taska tersebut mendapati guru berkenaan telah menarik telinga dan menekap bantal ke muka mangsa.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, di sini dan pegawai perubatan telah mengesahkan mangsa telah mengalami lebam atas telinga kanan dipercayai didera,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563 122.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here