Polis tahan lelaki disyaki tayang objek berupa senjata api ketika memandu

0
11

CYBERJAYA – Pihak polis daerah Petaling Jaya malam semalam menahan seorang lelaki kerana disyaki menayangkan objek berupa senjata api ketika memandu sebuah kereta.

Menurut Ketua Polis Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, kejadian yang berlaku petang semalam itu telah dilihat dan dirakam seorang lelaki.

“Pihak IPD Petaling Jaya telah menerima satu laporan polis berkenaan seorang lelaki yang sedang memandu kereta jenis Proton Wira warna merah mengeluarkan sepucuk pistol dari tingkap dan menghalakan ke atas.

“Perbuatan ini telah dilihat dan dirakam oleh pengadu, seorang lelaki warganegara tempatan yang turut melalui lebuhraya sama berhampiran sebuah kompleks beli belah di Damansara, Selangor pada lebih kurang pukul 6.15 petang,” kata Mohamad Kakhrudin dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan laporan berkenaan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya berjaya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun.

“Lelaki itu, seorang warganegara berjaya ditahan di sebuah apartment di Bandar Sri Damansara,” jelas Mohamad Fakhrudin.

Katanya, pihak polis turut merampas sebuah kereta Proton Wira berwarna merah dan sepucuk pistol mainan berwarna hitam kecoklatan.

Siasatan awal mendapati, suspek yang mempunyai satu rekod lampau jenayah, mendakwa sedang bermain dengan anak buahnya ketika kejadian.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 26 Akta Senjata 1960, yang mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here