Polis terlibat insiden pukul pesalah trafik ditukar serta-merta

0
37
Mohd Shuhaily Mohd Zain

GEORGE TOWN – Enam anggota polis yang terlibat insiden mengasari orang awam dalam sekatan jalan raya di Bukit Mertajam di sini ditukarkan ke bahagian pentadbiran serta-merta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah tersebut telah dilucutkan daripada tugas hakiki mereka sementara siasatan kes itu selesai.

Beliau berkata, ekoran kejadian pada pukul 1.15 pagi semalam yang turut dirakam kamera papan pemuka (dashcam) milik orang awam itu, pihaknya sendiri telah membuat satu laporan untuk siasatan dijalankan.

“Saya telah mengarahkan Bahagian Siasatan Jenayah untuk membuka kertas inkuiri polis terlebih dahulu kerana laporan dibuat adalah laporan pihak kami sendiri.

“Setakat ini mangsa masih belum tampil ke depan untuk membuat laporan polis, kita sedang mencari mangsa untuk mengambil keterangan mengenai apa yang sebenarnya berlaku.

“Kertas inkuiri polis telah dibuka dan setelah siasatan selesai kita akan rujuk kepada timbalan pendakwaraya untuk arahan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Video berdurasi 30 saat yang dirakam menggunakan dashcam itu menjadi tular selepas dimuatnaik di akaun Facebook My Penang Hometown.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here