RM7 bilion untuk pulihkan air Kelantan

0
114
Masalah bekalan air keruh yang dihadapi rakyat Kelantan sejak berdekad lamanya belum menunjukkan tanda akan selesai.

KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan menganggarkan ia memerlukan sekitar RM7 bilion untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu.

Menurut Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, peruntukan itu bagi menukar sistem paip lama melibatkan jarak 5,000 kilometer, serta pembinaan loji baharu.


Beliau mengakui, kerajaan negeri sudah berusaha bagi mengatasi masalah bekalan air bersih selama 30 tahun.

Namun, dakwanya, pertikaian politik dengan kerajaan persekutuan menjadi punca negeri itu tercicir daripada menerima peruntukan.

Ini termasuk isu pembatalan projek air Kelantan Utara bernilai RM600 juta pada 1990.

“Dan sekarang ini, keperluan kita RM7 bilion untuk memulihkan isu air di Kelantan, dengan tukar paip, apa semua sekali, kita tak dapat.

“Sedangkan, masa itu, Pulau Pinang dapat RM2 bilion sehingga siap Empangan Mengkuang Penang dan tak ada masalah air sekarang ini.

“Selepas itu, isu migrasi. Peruntukan yang sepatutnya sampai, tak sampai. Ada banyak isu. Saya ada rekod semuanya. Kena faham, di Malaysia ini, tak ada satu negeri yang boleh selesaikan masalah air secara sendirian,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Mohd Amar berkata, kerajaan Kelantan tidak mampu mengatasi masalah air tanpa bantuan kerajaan persekutuan.


Justeru, beliau berharap, kerajaan persekutuan dapat memberi bantuan untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here