Selepas ‘menyamar’ masuk ke Singapura, MB Johor terjah pejabat imigresen pula

0
173
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turun padang melihat kesesakan di Imigresen Setia Tropika

JOHOR BAHRU – Selepas melakukan penyamaran dengan menaiki pengangkutan awam untuk ke Singapura melalui JB Sentral, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sekali lagi turun padang untuk melihat sendiri masalah yang berlaku di negeri itu tanpa diiringi pengiring.

Terbaharu, Menteri Besar Johor itu turun sendiri melihat keadaan di Imigresen Setia Tropika selepas orang ramai terpaksa bersesak dan beratur panjang untuk memohon pasport.

Menurut Onn Hafiz, beliau mendapat maklumat keadaan sesak itu telah berlaku setiap pagi sejak 1 Mei lalu.

“Keadaan ini tidak boleh berlarutan lagi.
Pengarah Imigresen Johor sudah diminta jumpa saya pagi ini,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Sementara itu, dalam satu hantaran video awal pagi tadi, beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat orang ramai telah mula beratur seawal jam 4 pagi.

Sehubungan itu katanya, satu penambahbaikan perlu dilakukan bagi menyelesaikan masalah kesesakan itu.

Kelmarin, orang ramai teruja apabila Menteri Besar Johor itu pergi dan balik ke Singapura tanpa pengiring dan lawatan rasmi, sebaliknya dilihat seolah ‘menyamar’ sebagai rakyat biasa bagi merasai sendiri keadaan keselamatan dan keselesaan rakyat berulang alik ke republik itu setiap hari.

Menerusi perkongsian di media sosialnya sekembali dari Singapura beliau berkata dirinya telah selamat pergi Singapura dan balik ke Johor menggunakan laluan dan proses yang lazim digunakan semua pihak.

“Insya-Allah, saya akan berjumpa dengan Pengarah Imigresen Johor, Kastam, KDN, JPJ, APAD dan SPRM Johor esok.

“Masih banyak ruang yang boleh diperbaiki. Saya dan agensi berkenaan akan berusaha untuk memperbaikinya dengan kadar segera, demi keselamatan dan keselesaan jutaan pengguna yang mengunjunginya setiap tahun. Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here