SPRM serah kertas siasatan kes Nazlan kepada Peguam Negara

0
24

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengemukakan kertas siasatan ke atas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (gambar) kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 Mei lalu untuk kajian dan arahan selanjutnya.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya selesai melakukan siasatan kes melibatkan Nazlan yang bermula sejak Mac lalu.

“Siasatan yang bermula sejak Mac lalu telah dilengkapkan dengan mengumpulkan bukti berkaitan mengikut panduan dan prosedur ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Pada 23 April lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Nazlan memiliki RM1 juta dalam akaunnya yang tidak dapat dijelaskan.

Katanya, SPRM membuka kertas siasatan selepas menerima ‘beberapa laporan’ dan bukan disebabkan dakwaan dibuat menerusi portal atau media sosial.

Nazlan pada masa yang sama turut membuat laporan polis berhubung tuduhan itu sambil menyatakan, ia adalah ‘palsu, tidak berasas dan berniat jahat’ serta bertujuan menjatuhkan kredibilitinya sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

Beliau sebelum ini merupakan hakim Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di mana beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here