
CYBERJAYA – Penerjun negara, Ooi Tze Liang menghadiahkan pingat emas Sukan SEA Vietnam 2021 ketiga negara apabila berjaya mengungguli acara 1 meter (m) papan anjal lelaki, sebentar tadi.
Tze Liang berjaya mengutip 377.70 mata selepas melakukan enam terjunan untuk jauh meninggalkan lima pencabar lain.
Untuk rekod, ini merupakan emas kedua Tze Liang dalam temasya kali ini selepas memenangi acara 3m papan anjal seirama lelaki bergandingan dengan Chew Yi Wei pada hari pertama, semalam.
Pingat perak pula diraih penerjun Singapura, Avvir Tham Pac Lun yang memperolehi 286.40 mata, manakala gangsa milik penerjun Thailand, Chawanwat Juntaphadwon (281.45 mata).
Seorang lagi penerjun negara yang beraksi buat kali pertama pada temasya ini, Bertrand Rhodict Lises menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan mengumpul 266.30 mata.
Emas pertama negara pada edisi ke-31 Sukan SEA di Hanoi disumbangkan oleh juara Piala Asia 2019, Nur Dhabitah Sabri daripada acara 1m papan anjal wanita, juga semalam.