
CYBERJAYA – Skuad terjun negara pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam berjaya menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang dipertandingkan dalam acara tersebut.
Pingat emas terakhir acara tersebut berjaya dibawa pulang menerusi gandingan Datuk Pandelela Rinong dan Nor Dhabitah Sabri menerusi acara platform 10 meter (m) seirama, sebentar tadi.
Gandingan Pandelela-Dhabitah berjaya mengumpul mata keseluruhan sebanyak 292.14 setelah lima terjunan.
Terdahulu, Syafiq Puteh berjaya merangkul pingat emas acara papan anjal 3m apabila berjaya mengumpul mata keseluruhan 381.35.
Rakan sepasukan, Gabriel Gilbert Daim berjaya menggondol pingat perak setelah berjaya mengumpul 375.30 mata, diikuti penerjun Thailand, Chawanwat Juntaphadawon yang menggondol gangsa dengan pungutan mata sebanyak 340.35.
Sebelum ini, skuad terjun negara telah menyumbang pingat emas menerusi acara papan anjal 1m wanita (Nur Dhabitah Sabri), papan anjal 3m wanita (Ng Yan Yee) dan papan anjal 3m seirama wanita (Ng Yan Yee-Ong Ker Ying).
Pingat emas juga turut disumbangkan oleh skuad lelaki menerusi acara papan anjal 1m (Ooi Tze Liang), acara papan anjal 3m seirama (Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang), dan acara papan anjal 10m (Jellson Jabillin-Hanis Nazirul Jaya Surya)
Sementara itu, dalam acara silat pula, gandingan Mohd. Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga berjaya mempertahankan pingat emas acara Ganda Seni setelah berjaya menewaskan gandingan Singapura yang diwakili oleh pasangan adik-beradik Muhammad Hazim Mohammad Zaque dan Muhammad Haziq Mohammad Zaque.