Sukan SEA: Penerjun negara tambah lagi pungutan emas

0
49

CYBERJAYA – Atlet terjun terus mempamerkan kecemerlangan apabila berjaya menyumbang sebutir lagi pingat emas Sukan SEA ke-31 di Vietnam, siang tadi.

Pingat emas keempat dari acara tersebut hadir menerusi pasangan Ng Yan Yee-Ong Ker Ying dari acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita di Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi.

Yan Yee-Ker Ying yang pertama kali bergandingan di pentas antarabangsa, dinobatkan selaku pemenang setelah mengumpul keseluruhan 276.30 mata selepas lima terjunan.

Pasangan tuan rumah, Mai Hong Hanh-Ngo Phuong Mai yang memungut 237.57 mata meraih pingat perak, sementara gangsa menjadi milik wakil Singapura, Ashlee Tan Yi Xuan-Fong Kay Yian dengan 229.41 mata.

Terdahulu, pingat emas ketiga negara disumbangkan oleh Ooi Tze Liang dalam acara 1m papan anjal lelaki.

Kem terjun akan meneruskan pemburuan pingat emas esok dengan Yan Yee dan Ker Ying menggalas cabaran negara dalam acara 3m papan anjal wanita, sementara gandingan Jellson Jabillin-Hanis Nazirul Jaya Surya bertanding dalam acara 10m platform seirama lelaki.

Malaysia meletakkan sasaran menyapu bersih kesemua lapan pingat emas acara terjun yang dipertandingkan pada Sukan SEA edisi kali ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here