Surat rasmi urusan kerajaan ke luar negara dilampirkan terjemahan Bahasa Inggeris

0
24
Ismail Sabri

CYBERJAYA – Kerajaan akan memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi kerajaan Persekutuan, kerajaan Negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat swasta khususnya dalam urusan luar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, usaha memartabatkan Bahasa Melayu itu selari dengan dasar kerajaan yang menjadi bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negara Malaysia yang dilancar pada 7 Disember 2021 melalui diplomasi kebudayaan.

Bagaimanapun beliau berkata, dalam memastikan penerimaan bahasa itu diperingkat antarabangsa, ia perlu dimartabatkan di dalam negara terlebih dahulu.

“Seluruh Keluarga Malaysia terutamanya penjawat awam seharusnya memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa berkenaan.

“Jadikanlah peribahasa “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” sebagai pegangan kerana cara itu barulah bahasa Melayu benar-benar boleh dijadikan alat perpaduan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.

Ismail berkata, usaha itu dimulakan beliau dalam setiap urusan luar negara melalui penggunaan surat rasmi berbahasa Melayu dengan terjemahan Bahasa Inggeris termasuk pada Sidang Khas ASEAN-Amerika Syarikat bersama dengan Presiden Amerika, yang dihadirinya baru-baru ini.

“Mesej yang saya sampaikan jelas diterima Presiden Amerika walaupun saya berbahasa Melayu,” katanya.

Beliau juga menegaskan pentingnya semua sektor menggunakan Bahasa Melayu dengan seluas-luasnya.

Sebagai menjayakan usaha itu, beliau mahu pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 dilakukan secepat mungkin untuk memberi kuasa kepada DBP menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan pengunaan bahasa.

“Peranan dan tanggungjawab DBP sebagai badan perancangan bahasa, sastera dan penerbitan negara perlu dirincikan lebih jelas supaya peranannya lebih berkesan untuk mendukung dan melaksanakan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan,” katanya.

Mengenai simposium itu, Perdana Menteri mengiktiraf penglibatan golongan cendekiawan dalam merancang dan melaksanakan gagasan pemimpin dan dasar negara selain pandangan seluruh Keluarga Malaysia.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih, kepada DBP, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, Institut Peradaban Melayu (IPM) UPSI, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang bekerja keras menjayakan simposium ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here