TH beri jaminan tiada isu guna ‘kabel’, potong giliran tunai haji tahun ini

0
13
GAMBAR HIASAN

KOTA BHARU – Tabung Haji (TH) memberi jaminan tidak wujud isu menggunakan ‘kabel’ atau memotong giliran untuk mempercepatkan giliran menunaikan haji.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata tindakan tidak baik itu juga seakan menidakkan hak orang yang telah disenaraikan untuk menunaikan haji.

“Tak elok kalau kita nak pergi haji sehingga terpaksa memotong nama orang yang sudah naik (disenaraikan). Apapun kita doa kalau dah sampai giliran akan pergi.

“Mengenai senarai menunggu, ia mempunyai kriteria tertentu yang menjadi keutamaan TH. Kalau tiada kuota tambahan ataupun semua yang disenaraikan itu tiada masalah dan layak untuk menunaikan haji, jadi tiada kejayaan kepada senarai menunggu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Parlimen Pengkalan Chepa di Kompleks Purnama, Pengkalan Chepa, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ahmad Marzuk yang juga ahli Parlimen Pengkalan Chepa turut menasihatkan bakal jemaah haji dan juga umrah supaya mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) semasa kerajaan Arab Saudi.

“Jemaah diminta patuh kepada SOP yang telah ditetapkan kerana ia melibatkan keperluan untuk mereka berdisplin agar perjalanan menjadi lancar dan teratur.

“Malah, untuk menyediakan satu-satu SOP ia telah difikirkan dan dikaji secara teliti. Jadi sebarang pelanggaran kepada SOP akan menjejaskan dari sudut kelicinan perjalanan kepada urusan haji,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here